Mahasiswa Terengganu Mesir Difitnah Dan Ditohmah

Monday, June 6, 2011

"~~Luahan rasa..Luahan hati..~~ Disaat mahasiswa di Mesir sibuk menumpukan persediaan untuk menghadapi imtihan (peperiksaan), ada pihak yang cuba memberi tekanan dengan tuduhan dan tohmahan yang kurang tepat. Sehingga menggangu fokus dan study mahasiswa untuk menghadapi imtihan. Tindakan sebegini dilihat amat kurang bijak.

Segelintir mahasiswa yang ditemui melahirkan rasa kekecewaan dan kesal terhadap tuduhan yang melulu tanpa asas bukti yang kukuh terhadap mahasiswa disini oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Seluruh mahasiswa di sini melahirkan rasa kebimbangan terhadap situasi ini.

Kami mendesak agar pihak-pihak yang bertanggungjawab tidak hanya mendengar sebelah pihak semata-mata sehingga membuat pertimbangan yang tidak betul dan jelas.

Di antara tuduhan buruk dan tohmahan yang dilemparkan :

Mahasiswa Mesir berkahwin awal

Soal mahasiswa mendirikan rumah tangga sepatutnya dilihat secara adil dan mengambil kira pandangan dalam Islam bukan hanya mengeluarkan pandangan mengikut kehendak nafsu semata-mata.

Apakah menjadi satu kesalahan bagi seseorang mahasiswa untuk berkahwin?? Apakah mereka lebih rela melihat suasana tidak sihat, hubungan bebas tanpa ikatan yang sah berlaku ke atas remaja masa kini?? Sedangkan kita menyaksikan kejatuhan moral remaja kita pada hari ini kian meruncing.

Sesungguhnya Islam telah menganjurkan kepada umatnya untuk mendidirikan rumah tangga adalah bertujuan memelihara maruah dan mengelakkan daripada terjebak dengan maksiat dan perkara mungkar.

Sabda Nabi Muhammad S. A. W yang berbunyi:


«يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ البَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ، وَأَحْصَنُ لِلْفَرجِ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِيعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ، فَإِنَّهُ لَهُ وَجَاءٌ».

رواه البخاري ومسلم


Zaman remaja adalah masa yang terlalu kuat ujian nafsunya. Ianya dikuatkan lagi dengan saranan nabi sebagaimana sabdanya di atas kepada golongan pemuda khasnya untuk berkahwin bagi mengelakkan diri mereka dari gejala maksiat terutama dalam zaman “dunia tanpa sempadan” yang amat mencabar ini.

Mahasiswa menyalahgunakan wang zakat (melancong)

Wang zakat yang diberikan adalah hak penerima untuk mengunakan wang tersebut bagi tujuan keperluan sebagai seorang penuntut ilmu.

Kemungkinan hanya sebilangan kecil sahaja yang melakukan kesalahan sebagaimana yang dituduh itu (melancong ke luar negara) tetapi kenapa seluruh mahasiswa dihukum dengan begitu rupa??? Para mahasiswa sudah mengetahui ke arah mana sepatutnya dibelanjakan wang zakat, kami bukannya anak kecil yang bersekolah tadika. Dan kebiasaan yang menziarahi tempat-tempat bersejarah di Negara lain bukanlah semata-mata melancong ‘buta’ , tetapi adalah untuk mengambil peringatan dan pengajaran dengan kesan-kesan sejarah Islam.

Dari manakah datangnya sumber yang mengatakan mahasiswa-mahasiswa menggunakan wang zakat untuk melancong? apakah mereka mempunyai bukti yang kukuh?atau semata-mata rekaan untuk mengaibkan pelajar-pelajar Mesir? janganlah kerana “nila setitik rosak susu sebelanga”.

Adakah mereka tahu ada dalam kalangan mahasiswa yang terpaksa mengikat perut sehingga ada yang terpaksa berhutang kerana ketiadaan wang?? Wang zakat pula dilambat-lambatkan untuk dibahagikan dan terpaksa melalui proses saringan dan kelulusan yang amat menyusah dan menyeksakan pelajar.

Sedangkan Islam memperuntukkan wang tersebut kepada “asnaf fisabilillah” untuk memudahkan mereka menuntut ilmu. Tidakkah itu mencukupkan syarat bagi kami menerima hak kami? Kini sistem baru yang menghukum pelajar-pelajar yang mengulang dalam pelajaran dan lebih daripada empat tahun dikurangkan zakatnya kepada RM2000 atau kurang setahun. Anda semua cuba fikirkan dan bayangkan, dari satu aspek, memang tindakan itu untuk memberi semangat dan galakan untuk pelajar gigih berusaha, tapi dari sudut lain?tidakkah tindakan itu menyusahkan para pelajar?bagaimana pelajar hendak menumpukan perhatian kepada pelajaran sekiranya asyik memikirkan soal kewangan yang tidak mencukupi dan ada sebahagian yang berniaga untuk menyara kehidupannya di sini memandangkan harga barang sekarang kian meninggi.

Berfikirlah sebelum melontarkan pandangan dan buatlah kajian yang mendalam sebelum membuat keputusan…jangan hanya mendengar sebelah pihak begitu sahaja.

Mahasiswa tidak menyambut kehadiran pegawai dari Malaysia

Bagaimana mungkin kami boleh menyambut kehadiran pegawai atau tetamu dari Malaysia sedangkan kehadiran mereka tidak pernah dimaklumkan oleh pegawai Hal Ehwal Pelajar(HEP) Terengganu di Mesir (Encik Ahmad Kamal Abdullah) kepada mahasiswa disini???

Apa masalah pegawai….

Kami ingin mendesak kepada pihak terbabit supaya lantikan pegawai HEP Terengganu di Mesir kepada Encik Ahmad Kamal Abdullah (Bekas Adun Umno Sura, Dungun. Terengganu) ditarik balik atau beliau sendiri meletakkan jawatannya.

Sepanjang lantikan beliau, beliau banyak menyusahkan mahasiswa disini. Kami diajar supaya tidak berpolitik namun beliau sendiri berpolitik dan bekerja secara tidak profesional sebagai penjawat awam.

Pejabat HEP Terengganu yang berada di Asrama Pelajar Kompleks Darul Iman, Mesir sepatutnya dibuka 5 hari seminggu tidak berfungsi dengan baik. Keadaan ini merumitkan lagi mahasiswa untuk berurusan. Bukan setakat itu sahaja, beliau dikatakan lebih banyak menghabiskan masa diluar pejabat dan pulang ke malaysia daripada berada dalam pejabat HEP. Dan sehingga waktu ini, beliau masih lagi di Malaysia dan kami tidak tahu, tugasnya di sini untuk menjaga kebajikan pelajar atau apa? Tugas si ‘ayah’ sepatutnya memberi galakan dan semangat tatkala anak-anak mereka ingin menghadapi imtihan, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Tugas sebagai pegawai yang disandang beliau tidak wajar diteruskan lagi kerana tiada kebertanggungjawaban dalam menjalankan amanah sebagai penjawat awam.

Seharusnya pihak kerajaan memandang serius terhadap penjawat awam yang bermasalah seumpama ini kerana ia boleh menjatuhkan imej kerajaan Negeri sebagaimana slogan yang dilanungkan “Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”.

Harapan kami…

Sebenarnya banyak lagi tuduhan yang telah dilemparkan kepada mahasiswa di mesir adalah hasil dari laporan dan maklumat yang tidak tepat. Dan kami tidak akan berdiam diri demi mempertahankan maruah kami!

Kenapa perlu mengambil pandangan dan maklumat dari sebelah pihak sahaja yang dilihat tidak adil dan kalian adalah pekerja kerajaan dan seharusnya bersikap professional.

Perlu diingat juga, sebenarnya mahasiswa di mesir bukan hanya cemerlang dalam akademik tapi mereka masih memiliki moral dan akhlak yang baik.

Janganlah kerana dendam politik seluruh mahasiswa dipersalahkan dan menjadi mangsa pengkhianatan hak. Kesungguhan dan pengorbanan mahasiswa dalam menuntut ilmu tidak pernah pula diberi penghargaan.

Kami sangat kecewa terhadap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah melemparkan tuduhan tanpa kajian dan penelitian yang jelas, betul dan tepat.

Ingatlah kuasa yang kita ada bukan untuk selama-lamanya kerana kelak nanti kita akan menyesal. Konsep dosa dan pahala yang diajar oleh Islam juga tidak harus dilupakan.

Peringatan ini bukanlah untuk menjatuhkan mana-mana pihak akan tetapi sebagai satu nasihat sebagaimana anda memberi nasihat kepada kami. Oleh itu, terimalah dengan hati yang terbuka tanpa perasaan dendam yang kesumat.

Jazakumullah…

Tulus Ikhlas daripada:

Mahasiswa Islam, Cairo. "

شكران للزيارة

Terima Kasih Atas Kunjungan....segala kekurangan mohon beribu kemafaan
 
 
 
 
Copyright © Tinta Seorang Hamba