Mahasiswa Terengganu Mesir Difitnah Dan Ditohmah

Monday, June 6, 2011

"~~Luahan rasa..Luahan hati..~~ Disaat mahasiswa di Mesir sibuk menumpukan persediaan untuk menghadapi imtihan (peperiksaan), ada pihak yang cuba memberi tekanan dengan tuduhan dan tohmahan yang kurang tepat. Sehingga menggangu fokus dan study mahasiswa untuk menghadapi imtihan. Tindakan sebegini dilihat amat kurang bijak.

Segelintir mahasiswa yang ditemui melahirkan rasa kekecewaan dan kesal terhadap tuduhan yang melulu tanpa asas bukti yang kukuh terhadap mahasiswa disini oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Seluruh mahasiswa di sini melahirkan rasa kebimbangan terhadap situasi ini.

Kami mendesak agar pihak-pihak yang bertanggungjawab tidak hanya mendengar sebelah pihak semata-mata sehingga membuat pertimbangan yang tidak betul dan jelas.

Di antara tuduhan buruk dan tohmahan yang dilemparkan :

Mahasiswa Mesir berkahwin awal

Soal mahasiswa mendirikan rumah tangga sepatutnya dilihat secara adil dan mengambil kira pandangan dalam Islam bukan hanya mengeluarkan pandangan mengikut kehendak nafsu semata-mata.

Apakah menjadi satu kesalahan bagi seseorang mahasiswa untuk berkahwin?? Apakah mereka lebih rela melihat suasana tidak sihat, hubungan bebas tanpa ikatan yang sah berlaku ke atas remaja masa kini?? Sedangkan kita menyaksikan kejatuhan moral remaja kita pada hari ini kian meruncing.

Sesungguhnya Islam telah menganjurkan kepada umatnya untuk mendidirikan rumah tangga adalah bertujuan memelihara maruah dan mengelakkan daripada terjebak dengan maksiat dan perkara mungkar.

Sabda Nabi Muhammad S. A. W yang berbunyi:


«يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ البَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ، وَأَحْصَنُ لِلْفَرجِ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِيعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ، فَإِنَّهُ لَهُ وَجَاءٌ».

رواه البخاري ومسلم


Zaman remaja adalah masa yang terlalu kuat ujian nafsunya. Ianya dikuatkan lagi dengan saranan nabi sebagaimana sabdanya di atas kepada golongan pemuda khasnya untuk berkahwin bagi mengelakkan diri mereka dari gejala maksiat terutama dalam zaman “dunia tanpa sempadan” yang amat mencabar ini.

Mahasiswa menyalahgunakan wang zakat (melancong)

Wang zakat yang diberikan adalah hak penerima untuk mengunakan wang tersebut bagi tujuan keperluan sebagai seorang penuntut ilmu.

Kemungkinan hanya sebilangan kecil sahaja yang melakukan kesalahan sebagaimana yang dituduh itu (melancong ke luar negara) tetapi kenapa seluruh mahasiswa dihukum dengan begitu rupa??? Para mahasiswa sudah mengetahui ke arah mana sepatutnya dibelanjakan wang zakat, kami bukannya anak kecil yang bersekolah tadika. Dan kebiasaan yang menziarahi tempat-tempat bersejarah di Negara lain bukanlah semata-mata melancong ‘buta’ , tetapi adalah untuk mengambil peringatan dan pengajaran dengan kesan-kesan sejarah Islam.

Dari manakah datangnya sumber yang mengatakan mahasiswa-mahasiswa menggunakan wang zakat untuk melancong? apakah mereka mempunyai bukti yang kukuh?atau semata-mata rekaan untuk mengaibkan pelajar-pelajar Mesir? janganlah kerana “nila setitik rosak susu sebelanga”.

Adakah mereka tahu ada dalam kalangan mahasiswa yang terpaksa mengikat perut sehingga ada yang terpaksa berhutang kerana ketiadaan wang?? Wang zakat pula dilambat-lambatkan untuk dibahagikan dan terpaksa melalui proses saringan dan kelulusan yang amat menyusah dan menyeksakan pelajar.

Sedangkan Islam memperuntukkan wang tersebut kepada “asnaf fisabilillah” untuk memudahkan mereka menuntut ilmu. Tidakkah itu mencukupkan syarat bagi kami menerima hak kami? Kini sistem baru yang menghukum pelajar-pelajar yang mengulang dalam pelajaran dan lebih daripada empat tahun dikurangkan zakatnya kepada RM2000 atau kurang setahun. Anda semua cuba fikirkan dan bayangkan, dari satu aspek, memang tindakan itu untuk memberi semangat dan galakan untuk pelajar gigih berusaha, tapi dari sudut lain?tidakkah tindakan itu menyusahkan para pelajar?bagaimana pelajar hendak menumpukan perhatian kepada pelajaran sekiranya asyik memikirkan soal kewangan yang tidak mencukupi dan ada sebahagian yang berniaga untuk menyara kehidupannya di sini memandangkan harga barang sekarang kian meninggi.

Berfikirlah sebelum melontarkan pandangan dan buatlah kajian yang mendalam sebelum membuat keputusan…jangan hanya mendengar sebelah pihak begitu sahaja.

Mahasiswa tidak menyambut kehadiran pegawai dari Malaysia

Bagaimana mungkin kami boleh menyambut kehadiran pegawai atau tetamu dari Malaysia sedangkan kehadiran mereka tidak pernah dimaklumkan oleh pegawai Hal Ehwal Pelajar(HEP) Terengganu di Mesir (Encik Ahmad Kamal Abdullah) kepada mahasiswa disini???

Apa masalah pegawai….

Kami ingin mendesak kepada pihak terbabit supaya lantikan pegawai HEP Terengganu di Mesir kepada Encik Ahmad Kamal Abdullah (Bekas Adun Umno Sura, Dungun. Terengganu) ditarik balik atau beliau sendiri meletakkan jawatannya.

Sepanjang lantikan beliau, beliau banyak menyusahkan mahasiswa disini. Kami diajar supaya tidak berpolitik namun beliau sendiri berpolitik dan bekerja secara tidak profesional sebagai penjawat awam.

Pejabat HEP Terengganu yang berada di Asrama Pelajar Kompleks Darul Iman, Mesir sepatutnya dibuka 5 hari seminggu tidak berfungsi dengan baik. Keadaan ini merumitkan lagi mahasiswa untuk berurusan. Bukan setakat itu sahaja, beliau dikatakan lebih banyak menghabiskan masa diluar pejabat dan pulang ke malaysia daripada berada dalam pejabat HEP. Dan sehingga waktu ini, beliau masih lagi di Malaysia dan kami tidak tahu, tugasnya di sini untuk menjaga kebajikan pelajar atau apa? Tugas si ‘ayah’ sepatutnya memberi galakan dan semangat tatkala anak-anak mereka ingin menghadapi imtihan, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Tugas sebagai pegawai yang disandang beliau tidak wajar diteruskan lagi kerana tiada kebertanggungjawaban dalam menjalankan amanah sebagai penjawat awam.

Seharusnya pihak kerajaan memandang serius terhadap penjawat awam yang bermasalah seumpama ini kerana ia boleh menjatuhkan imej kerajaan Negeri sebagaimana slogan yang dilanungkan “Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”.

Harapan kami…

Sebenarnya banyak lagi tuduhan yang telah dilemparkan kepada mahasiswa di mesir adalah hasil dari laporan dan maklumat yang tidak tepat. Dan kami tidak akan berdiam diri demi mempertahankan maruah kami!

Kenapa perlu mengambil pandangan dan maklumat dari sebelah pihak sahaja yang dilihat tidak adil dan kalian adalah pekerja kerajaan dan seharusnya bersikap professional.

Perlu diingat juga, sebenarnya mahasiswa di mesir bukan hanya cemerlang dalam akademik tapi mereka masih memiliki moral dan akhlak yang baik.

Janganlah kerana dendam politik seluruh mahasiswa dipersalahkan dan menjadi mangsa pengkhianatan hak. Kesungguhan dan pengorbanan mahasiswa dalam menuntut ilmu tidak pernah pula diberi penghargaan.

Kami sangat kecewa terhadap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah melemparkan tuduhan tanpa kajian dan penelitian yang jelas, betul dan tepat.

Ingatlah kuasa yang kita ada bukan untuk selama-lamanya kerana kelak nanti kita akan menyesal. Konsep dosa dan pahala yang diajar oleh Islam juga tidak harus dilupakan.

Peringatan ini bukanlah untuk menjatuhkan mana-mana pihak akan tetapi sebagai satu nasihat sebagaimana anda memberi nasihat kepada kami. Oleh itu, terimalah dengan hati yang terbuka tanpa perasaan dendam yang kesumat.

Jazakumullah…

Tulus Ikhlas daripada:

Mahasiswa Islam, Cairo. "

Surat Terbuka seorang pelajar untuk DS Rosmah Mansor, at 7.3.11,

Sunday, March 6, 2011

 

Anak muda

Surat Terbuka daripada seorang pelajar untuk Datin Seri Rosmah Mansor
Assalamualaikum Datin Seri. Saya, Muhammad Muizzuddin bin Zaini. InsyaALLAH, andai diizinkanNya, Julai nanti genaplah usia saya 19 tahun.

Saya perkenalkan diri, sebagai remaja yang ingin tahu. Apa jua medium yang termampu saya pergunakan, saya usahakan sebaiknya agar saya dapat mengikuti perkembangan semasa, khususnya berkenaan negara Malaysia yang tercinta ini.

Iya, Datin Seri. Umur saya, sangat muda. Kedudukan saya, jauh benarlah kiranya dibandingkan dengan Datin Seri. Namun, saya yakin dan percaya, andai umurlah yang menjadi penentu kelayakan seseorang untuk bersuara, tidaklah layak sama sekali untuk suami Datin Seri memegang amanah pentadbiran negara sekarang, kerana di luar sana terdapat ramai yang lebih tua usianya!

Tegas saya, saya adalah remaja yang memerhati. Saya tidak mahu, sekadar menjadi manusia yang kerjanya memuaskan tembolok sendiri. Tidak juga hanya terpaku di bilik darjah, ‘menelan’ buku teks sekolah. Saya percaya, erti hidup pada memberi!

Datin Seri Rosmah Mansur yang saya hormati,
Saya pohon jutaan kemaafan, andai surat kecil ini menyinggung Datin Seri. Saya tidak berniat untuk menyakiti hati Datin Seri, jauh sekali memburuk-burukkan. Surat kecil ini, hanyalah usaha kerdil saya, menyampaikan isi hati. Ia hanyalah suara hati dan pandangan seorang anak muda.

KASIH SAYANG KEPADA RAKYAT

Datin Seri,
Pernah suatu pagi, saya dibawa ibu untuk menziarahi jenazah anak tunggal seorang jiran kami. Kanak-kanak kecil itu, baru berusia 6 tahun. Khairani namanya. Runtun rasa di hati, sebaik melihat keadaan rumah tempat tinggalnya kanak-kanak itu bersama ibunya. Saya cuba membayangkan, bagaimanalah andainya hujan lebat menimpa bumbung rumah itu. Atapnya berlubang-lubang, hinggakan saya fikir memadai dengan cahaya matahari yang ‘mencuri’ masuk melaluinya untuk menyinari ruang dalam rumah daif itu. Saya terpaksa melangkah berhati-hati, kerana lantainya berkeriut dan goyah sekali.

Hadir insaf dan syukur di dalam hati saya, bahawa betapa saya memiliki hidup yang jauh lebih baik dan selesa berbanding ramai lagi rakyat kebanyakan.

Di sekolah, saya punyai rakan-rakan yang sulit sekali melangsaikan yuran bulanan asrama. Bukan culas, bukan malas, tetapi kesempitan hidup menyukarkan mereka. Adik-beradik ramai yang masih bersekolah, ditambah taraf hidup dan kos keperluan yang kian meningkat dari sehari ke sehari, semuanya membebankan!

Datin Seri,
Sungguh saya tidak mampu mengelakkan rasa kecewa, apabila mengetahui yang Datin Seri bermalam di sebuah hotel di Dubai dengan kos melebihi RM100, 000 semalaman. Sehingga ke hari ini, saya masih teringatkan rumah daif adik Khairani, juga nasib ramai lagi yang saya temui sepanjang umur ini. Saya tahu, betapa besarnya urusan Datin Seri, juga kedudukan Datin Seri. Mungkin memang Datin Seri berhak, tetapi, apakah Datin Seri langsung tidak teringatkan kami, rakyat yang kesusahan? Apakah Datin Seri langsung tidak terfikirkan nasib ratusan, ribuan lagi rakyat yang tidak bernasib baik?

Apakah tiada langsung rasa bersalah di hati Datin Seri? Rasa bersalah kerana tinggal hanya untuk semalaman tetapi dengan kos yang boleh menyamai lebih kurang pendapatan selama 66 bulan bagi 40 peratus rakyat Malaysia! 40 peratus inilah rakyat yang pendapatan bulanan bagi setiap keluarga adalah lebih rendah daripada RM1500 sebulan. Bahkan setiap 3 daripada 4 keluarga ini, adalah sebangsa dengan Datin Seri, bangsa MELAYU!

Atau apakah Datin Seri tidur dengan lena malam itu?

Hingga hari ini, sudah bertahun saya tidak ke restoran Pizza Hut, McDonald dan seumpamanya. Kerana cukup dengan hanya melihat dari jauh, hadir rasa pilu mengenangkan saudara-saudara seagama, anak-anak muda seusia saya atau kanak-kanak, wanita dan orang tua yang dibunuh kejam di Palestin oleh rejim zalim Israel hasil sumbangan restoran-restoran ini.

Ia dipanggil, kasih sayang Datin Seri. Maafkan saya, tetapi saya terpaksa bertanya, apakah tiada langsung walau secebis pun rasa kasihan kepada rakyat Malaysia yang hidup serba kesusahan? Rakyat yang terpaksa melupakan impian dan keinginan kerana kesempitan hidup, namun terpaksa pula menanggung kos penginapan Datin Seri dan rombongan di luar negara untuk hanya semalaman!? Bayangkan pula kos penerbangan untuk keseluruhan rombongan selain daripada penginapan!

Peningkatan kos sara hidup waktu ini, sangatlah membebankan. Suami Datin Seri berterusan meminta seluruh rakyat berjimat, sedangkan isterinya? Hasil tindakan kerajaan pimpinan suami Datin Seri, mengurangkan subsidi untuk rakyat terbanyak sedangkan untuk para taukeh-taukeh besar dikekalkan, juga ‘penyelarasan-penyelarasan’ harga, teramatlah menyulitkan kami semua.

Sungguh Datin Seri, kami sangat terbeban meskipun harga petrol dinaikkan walau beberapa sen. Ia akan mempengaruhi seluruh kehidupan kami. Harga makanan, pakaian, kos pengangkutan dan semuanya akan semakin menyulitkan kami. Saban hari, saya melihat ibu mengeluh kerana gajinya sukar sekali untuk disimpan, ia sekadar mencukupi untuk setiap bulan.

Kami rakyat tidak meminta Datin Seri turut menaiki kereta biasa atau tinggal di rumah biasa seperti kami. Hanya yang kami rakyat pinta, supaya Datin Seri dan suami menyelami hakikat kesukaran yang terpaksa kami tempuhi.

Malangnya, tindakan Datin Seri berbelanja mewah begini adalah sama sekali tidak menggambarkan Datin Seri dan suami bersama-sama kami. Sungguh, ini amat mengecewakan saya. Sukar sekali untuk saya mewajarkannya. Maafkan saya Datin Seri, sungguh ia tidak dapat saya terima.

IFF dan ISLAM

Datin Seri yang dihormati,
Tiadalah yang lebih mengecewakan dan membangkitkan kemarahan, melainkan ketika melihat Datin Seri dan suami di Festival Fesyen Islam Monaco. Bagaimana tidak, pakaian yang diperagakan langsung tidak menggambarkan Islam! Langsung tidak menutup aurat, menampakkan bahagian-bahagian yang sepatutnya sulit dan yang paling dahsyatnya, nama RasuluLlah SAW yang mulia tertera pada pakaian yang tidak menutup aurat!

Apakah Datin Seri tidak menyedari, bagaimana kemarahan yang telah Datin Seri cetuskan? Nama RasuluLlah SAW yang mulia dihina sebegitu rupa! Namanya cukup mulia, hinggakan apabila disebut namanya, dikira manusia yang paling kikir sekiranya tidak dipanjangkan nama itu dengan selawat ke atasnya. Tiba-tiba, nama itu dihina sebegitu rupa! Bahkan, Datin Seri yang menghadapi teguran, kritikan, kecaman dan tunjuk rasa langsung tidak memohon maaf. Langsung tidak!

Sedangkan para Ulama’ masih berbahas, bagaimana cara paling baik untuk mengagungkan Manusia Mulia ini, tiba-tiba Datin Seri kelihatan meredhai perbuatan yang jelas MENGHINA Baginda Nabi SAW!

Sebenarnya, Datin Seri sudah dari awal menunjukkan kecekalan Datin Seri melanggar syariat Allah. Datin Seri tidak menutup aurat, bersentuhan, berlaga pipi dan berpelukan dengan lelaki bukan mahram yang disepakati sekalian Ulama’ sebagai perbuatan yang HARAM!

Menyentuh anjing atau khinzir, hukumnya juga Haram. Namun, hilang kotornya dengan perbuatan menyamak. Malangnya, tiada apa yang mampu ‘membersihkan’ haram dan kotornya nya menyentuh lelaki ajnabi kecuali API NERAKA!

Lalu, dengan semua perlakuan Datin Seri, apakah mungkin Datin Seri fikir kami rakyat akan menerima dakwaan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bahawa kerajaan pimpinannya berusaha keras berjuang demi Islam dan bangsa. Sedangkan isterinya sendiri, tidak memelihara Akhlak dan Syariat Islam, juga adab-adab kesantunan Melayu malahan!

RAKYAT MENGIKUTI PEMIMPIN MEREKA

Kata ahli hikmah, “Agama manusia itu, di atas Pemimpin mereka”. Tinggi sahsiahnya, baik akhlaknya, ikhlas hatinya, patuh dan taat kepada Allah, maka begitulah jua rakyatnya. Rakyat akan terpengaruh dengan ketua mereka.

Malaysia hari ini, dalam keadaan yang benar-benar dahsyat bagi saya. Setiap masa perlu di dalam keadaan berjaga-jaga, kerana penjenayah menunggu kita alpa. Gerun saya melihatkan kanak-kanak yang bermain sendirian di halaman rumah, bimbang kalau-kalau ada manusia busuk hati yang berniat jahat kerana jenayah hari ini langsung tidak mengenal beza usia!

Budaya Hedonisme melampau. Nafsu ‘disembah’ sebagai Tuhan. Remaja Melayu Muslim tidak segan silu memakai pakaian yang jauh menyimpang daripada Islam dan adab Melayu. Tidak kekok mengogok arak di pesta-pesta jamuan nafsu. Saban hari ada sahaja kes bunuh bayi lewat pergaulan tanpa batas! Hari ini, remaja mati dengan sia-sia. Samada mati dalam ketagihan najis dadah, atau kemalangan dalam perlumbaan haram!

Bahkan seribu satu lagi, penyakit-penyakit sosial yang sedang membarah, membusuk di dalam negara tercinta!

Bukanlah saya menuding jari kepada Datin Seri dan suami, saya akui malahan, bahawa Datin Seri kelihatan cuba berusaha sedikit sebanyak bagi menangani masalah-masalah ini. Namun, hakikatnya, keadaan rakyat sesuai dengan keadaan pemimpinnya!

Manusia yang jelas disabitkan kesalahan rasuah, diangkat menjadi pemimpin! Manakala pemimpin lain yang mengkritik tindakan ini, di arah supaya tutup mulut dan diambil tindakan! Apa sudah jadi pada negara!? Sedangkan Nabi SAW bersabda, “Apabila amanah diberikan kepada BUKAN ahlinya, maka tunggulah KEHANCURAN!

Pemimpin negara tidak memelihara adab pergaulan Islam, tidak memelihara batas aurat, berbelanja boros tanpa timbang rasa kepada rakyat, justeru, bagaimana mungkin kita mengharapkan yang baik-baik daripada rakyat?

Saya gerun melihat perkembangan ini, Datin Seri. Hari ini, kita mengeluh kerana ramainya anak-anak luar nikah yang didaftarkan. Bayangkanlah, apa yang mungkin kita keluhkan 5 atau 10 tahun akan datang!

Antara sifat agama kita, INQILABIYYAH Datin Seri. Ertinya, adil dan zalim mustahil begerak seiring. Kebenaran dan kebatilan sama sekali tidak akan bercampur. Syariat Islam dan yang bercanggah dengannya, pasti tidak akan ditemui titik temu antara keduanya. Justeru, Datin Seri berusahalah sehebat manapun untuk memperbaiki masalah sosial, gejala buang bayi dan sebagainya, selagi suami dan kerajaan Datin Seri terus mengesampingkan hukum Allah, dasar Allah, syariat Allah, maka Datin Seri tidak akan BERJAYA! Berani saya kata!

Bagaimana tidak? Datin Seri berusaha mengelakkan masalah bunuh bayi yang kita semua maklum ia bermula daripada pergaulan bebas, sedangkan hub hiburan malam, lesen judi dan konsert-konsert mega sebenarnya adalah penyumbang besar kepada masalah ini! Kerajaan pimpinan suami Datin Seri, umpama membina dan meruntuhkannya semula. Bina dan runtuh, kemudian bina dan runtuhkan lagi. Itulah kitarannya.

KUASA

Datin Seri ke luar negara untuk bertemu pemimpin negara luar, pernah juga Datin Seri menyambut kehadiran Perdana Menteri luar negara ke Malaysia, dana RM111 juta untuk PERMATA, pertemuan First Lady dan liputan-liputan meluas setiap aktiviti Datin Seri di media dalam dan luar negara, itu bagi saya menunjukkan yang Datin Seri seolah-olah punya kuasa di dalam pentadbiran negara.

Justeru, sebagai anak muda yang penuh persoalan di minda, saya bertanya dengan baik, bagaimana ini semua berlaku? Sedangkan, kami rakyat tidak pernah melantik Datin Seri sebagai pemimpin negara. Suami Datin Seri yang memimpin kerajaan yang telah dipilih rakyat melalui proses Pilihan Raya! Atau apakah dengan hanya menjadi isteri kepadanya, menjadikan Datin Seri turut berkuasa?

Datin Seri pasti tahu, berkenaan kebangkitan rakyat yang menyemarak di Timur Tengah. Kerajaan yang tidak bertimbang rasa diterjah dan dihalau rakyat! Antara isunya ialah bagaimana berkuasa dan kaya rayanya isteri kepada pemimpin-pemimpin yang telah tumbang itu.

Saya cintakan negara saya. Tidak sanggup saya melihat negara porak peranda, namun, kiranya Datin Seri berterusan mengikut jejak langkah isteri-isteri pemimpin yang tumbang itu, maka mungkin Datin Seri dan suami boleh menerima nasib yang sama. Kami rakyat semakin tidak tertanggung lagi dengan tekanan-tekanan kewangan dan keperluan hidup sekarang!

Datin Seri,
Surat ini bukanlah ancaman, bukan juga ugutan. Ia sekadar luahan rasa, nasihat dan pandangan yang cuba seorang anak muda sampaikan. Ingin benar saya ingatkan, kedudukan yang Datin Seri nikmati hari ini, adalah kerana rakyat memilih suami Datin Seri. Kuasa di tangan kami, untuk menentukan jatuh dan bangunnya Datin Seri dan suami. Dan sebenarnya, kami rakyat hanyalah ‘jalan’ bagi Allah untuk mengatur ketentuan ini, Allah jualah yang meletakkan kekuasaan kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Justeru, berbaiklah dengan kami. Patuhilah suruhan Allah. Kami tidak pinta lebih, sekadar bertimbang-rasa untuk kami.

Datin Seri yang dihormati,
Surat ini mungkin sampai ke tangan Datin Seri. Mungkin sampai sendiri, atau terhenti di tangan pembantu-pembantu Datin Seri atau tidak mampu hampir sama sekali. Kiranya ia selamat sampai ke tangan Datin Seri, saya pohon maaf, kalaulah surat kecil saya ini mengguris rasa Datin Seri. Maafkan saya, kalau ia kerana kesilapan-kesilapan bahasa dan cara penulisan. Namun, andainya Datin Seri terasa hati kerana menerima teguran, tidak akan saya pohon maaf untuk itu! Teguran ini adalah benar, justeru tiada apa yang perlu saya risaukan dengan kebenaran. Ia pasti menang dan tertegak!

Pemuda Kebanggaan Rasul S.A.W

Saturday, February 19, 2011





Nabi saw pernah bersabda :

حالفني الشباب و خالفني الشيوخ

Aku didokong oleh para pemuda sementara Aku sering dicanggah oleh orang - orang tua .

Ungkapan Baginda saw jelas mengiktiraf fungsi pemuda dalam mendokong perjuangan yang diasaskan oleh Baginda saw.

Pemuda yang dimaksudkan pastinya pemuda yang beriman , bertaqwa dan berjihad untuk menegakkan syariat dan meninggikan syiar agama Allah swt . Pemuda yang mewaqafkan diri dan bersedia untuk mengorbankan segala kepentingan diri dan duniawi demi memastikan syariat dan sunnah berjaya di daulatkan di atas tanahair ini khasnya dan di atas muka bumi ini amnya .

Pemuda yang berjiwa besar , mampu dan sanggup menggalas beban amanah pula mendepani mehnah guna melunaskan tanggungjawab dakwah dan tarbiyah . Pemuda yang memiliki aqidah yang benar , fikrah yang jelas dan menghiaskan diri dengan akhlak Islami yang indah .

Pemuda yang tentu tidak pernah mengaku kalah dengan segala ancaman atau tahaddiyat yang digerakkan oleh musuh untuk menghalang hasrat dan perjuangan murni mendaulatkan syariat dan sunnah .

Inilah pemuda harapan dan sandaran ummah bagi mengembalikan semula kegemilangan agama suci ini setelah sekian lama ia diinjak oleh musuh dan lebih malang ianya kini dipersiakan oleh penganutnya sendiri .

Inilah pemuda kebanggaan Rasulullah saw yang berani mencagarkan kebebasan hidup semata - mata ingin mengabadikan diri kepada perjuangan suci memartabatkan kembali izzah ummah setelah sekian lama ianya tercalar angkara kejahilan dan kebejadan .

Ringkasnya , pemuda seperti inilah yang diperlukan  untuk memacu perjuangan di bumi bertuah ini agar Islam kembali bertapak dan cahaya keadilannya kembali menerangi ummah setelah berlalu tempoh kegelapan yang panjang menyelubungi kehidupan ummah .

Pemuda ISLAM sewajarnya menjadi duta penyelamat dan kasih sayang , membebaskan insan yang derita di sangkar jahiliyah . Biarpun diri terkorban justeru itulah sunnatullah bagi mujahid yang mendokong cita - cita besar perjuangan Islam .

Pemuda yang tidak mengenal istilah kalah melainkan menang atau syahid . Menang mendaulatkan syariat Allah swt atau menang mengatasi desahan nafsu yang memujuk agar meninggalkan perjuangan . Jika tidak , syahid di medan jihad fi sabilillah menjadi impian yang ingin dicapai .

Pemuda ISLAM sekali lagi ditegaskan , mestilah mempunyai keupayaan malah kesungguhan untuk mendalami urusan agama agar tahu dan faham berkait dengan "produk" [ Islam ] yang ingin di"pasar" [ dakwah ] kepada masyarakat .

Semangat semata - mata , jelas tidak memadai untuk memimpin perubahan dan membimbing kesedaran masyarakat hari ini yang rata - ratanya inginkan perubahan kepada keadaan yang lebih baik setelah lama terperangkap dalam kebodohan sistem yang mengasingkan dunia dan akhirat .

Era yang kita hadapi hari ini memerlukan kita selangkah lebih jauh ke depan berbanding kelicikan musuh yang tidak pernah rehat mengatur strategi dan konspirasi untuk memadam cahaya hidayah Allah swt . Malah kita mestilah selangkah lebih cepat bertindak berbanding musuh yang pintar dan menguasai pelbagai sarana penerangan bagi mengelirukan minda masyarakat .

Kesimpulannya , pemuda mestilah senantiasa dalam keadaan bersiap siaga . Bersedia bila diperlukan , hadir bila dipanggil , bertindak bila diarah dan responsif terhadap situasi sekeliling terutama berhubung dengan keperluan parti [ jamaah ] dan tuntutan ummah tanpa lengah dan alasan yang tidak wajar dan layak .

Ramadhan Hadiah Istimewa Daripada Allah..

Monday, August 30, 2010

Ibadat puasa melatih diri kita untuk membentuk diri. Pada bulan yang mulia ini kita boleh mengambil pengajaran daripada peristiwa kemenangan yang dikurniakan oleh Allah kepada orang Islam terdahulu di bulan Ramadhan seperti dalam peperangan Badar, ketika pembukaan Makkah, kemenangan di ‘Ain Jalut mengalahkan bangsa Tartar yang ganas dan lain-lain.

Perang Badar berlaku pada 17 Ramadhan hari Jumaat tahun kedua hijrah. Ketika umat Islam baru menerima kewajipan berpuasa. Apabila Rasulullah s.a.w. keluar bersama sahabatnya di dalam pasukan yang kecil berjumlah seramai 313 orang dengan sedikit kelengkapan dan persediaan, tiba-tiba mereka terserempak dengan bala tentera musyrikin Makkah yang berjumlah seramai 1000 orang.

Kaum musyrikin yang lengkap bersenjata keluar dengan semangat yang berkobar-kobar adalah berasala daripada satu bangsa, satu negeri, daripada dua tanah suci orang Islam tetapi mempunyai matlamat yang berbeza. Satu bangsa tetapi berbeza akidah, perjuangan dan matlamat hidup. Satu puak orang –orang Islam dan satu puak lagi orang-orang kafir.

Sebelum peperangan Badar bermula, Rasulullah s.a.w. telah bermunajat dan mengadu kepada Allah SWT dengan hati yang khusyuk:

“ Wahai Tuhanku! jika sekiranya pasukan kecil ini kalah nescaya engkau tidak lagi disembah.” (Muslim).

Rasulullah tidak menyebut: kalau kami kalah maka anak isteri kami akan menjadi tawanan, kami akan dibunuh, harta kami akan dirampas dan tanah air kami akan dijajah.

Berbeza pula dengan Abu Jahal yang memimpin tentera musyrikin dari Makkah yang berdoa:
:
“Wahai Tuhanku! Inilah dia orang yang memutuskan silaturahim (memecah belah anak beranak) dan membawa ajaran sesat, maka binasakanlah dia di pagi ini.” (al-Hakim)

Abu Jahal mempertahankan kesesatan dengan berlindung di sebalik silaturahim dan menuduh Nabi Muhammad dan orang-orang yang beriman itu sesat. Dia lupa kepada permasalahan utama dalam kehidupan manusia iaitu mentauhidkan Allah, mengabdikan diri kepada Allah, di samping menolak syirik kepada-Nnya, dan cara hidup yang lain daripada yang diajar oleh Allah SWT .

Lihatlah keyakinan tentera Islam bersama Nabi. Apabila Rasul memberi pilihan kepada mereka sama ada balik ke Makkah atau menghadapi musuh yang lebih besar ini, tiba-tiba seorang daripada mereka bernamaal-Miqdad ibn al-Aswad menjawab dengan penuh kesedaran:

“Wahai Rasulullah! Kami tidak akan berkata kepadamu sebagaimana kaum Bani Israel yang berkata kepada Nabi Musa: Pergilah kamu bersama Tuhan kamu berperang, kami mahu duduk di sini sahaja. Tetapi kami berkata kepadamu : Wahai Rasulullah! Pergilah berjuang wahai Rasulullah bersama Tuhanmu! Kami juga bersama dengan Allah dan Rasul pergi berperang”.

Itulah ucapan umat Muhammad yang berbeza dengan umat yang lain. Kaum bani Israel pernah dikurniakan nabi-nabi yang mempunyai mukjizat luar biasa seperti tongkat menjadi ular dan terbelah laut merah menjadi lorong-lorong yang dilalui oleh Bani Israel dan Firaun ditinggalkan di hadapan mata mereka. Tetapi apabila Allah menguji mereka supaya berjihad mengikut Nabi Musa masuk ke Palestin bagi membebaskan Palestin daripada kaum jabarin, tiba-tiba Bani Israel menolak dan Allah menyesatkan mereka di padang pasir Sinai selama 40 tahun.

Mereka hanya patuh kepada Nabi Musa apabila melihat mukjizat di depan mata kasar mereka. Janji kemenangan secara mulut oleh Nabi Musa tidak mereka yakini.

Adapun umat Muhammad seperti tentera Islam di dalam peperangan Badar, mereka hanya membaca mukjizat Al-Quran al-Karim yang diturunkan di bulan Ramadhan yang bermaksud:

“ Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan Yang amat betul (ugama Islam).” (Surah al-Isra’, ayat 9).

Mereka beriman dengan kitab yang dibaca daripada Allah dan yakin kepada Nabi Muhammad yang menjadi pemandu dan petunjuk jalan. Akhirnya mereka dikurniakan kemenangan yang diabadikan di dalam Al-quran al- karim. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).” (Surah Ali Imran, ayat 123).

Adapun peristiwa pembukaan Makkah yang berlaku juga di dalam bulan Ramadhan , Rasulullah mengarahkan bala tentera menawan Makkah yang dipimpin oleh Abu Sufyan yang juga mertua Baginda dan dari kalangan kaum kerabat Rasulullah sendiri.

Abu Sufyan telah membatalkan perjanjian Hudaibiah. Peristiwa ini membuka ruang bagi orang-orang yang beriman untuk menawan Makkah. Maka berlaku penawanan Makakh tanpa pertempuran, apabila penduduk Makkah menyerah diri kepada Allah dan Rasul-Nya dan menjadi orang-orang yang beriman secara beramai-ramai. Firman-Nya bermaksud:

“ Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah). Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia amat menerima taubat.” (Surah al-Nasr, ayat 1 – 3).

Ingatlah makna “fatah” Mekah yang berlaku di bulan Ramadhan . Adapun peristiwa Ain Jalut apabila tentera Tartar yang keluar dari Asia Tengah mara dengan bala tentera yang gagah berani dan ganas sehingga mereka menawan Baghdad yang menjadi pusat kerajaan Abbasiyah dan pusat pemerintahan Islam. Dikatakan mereka membunuh 4 juta manusia. Baghdad menjadi kolam darah. Kitab-kitab yang dikarang oleh ulama dibakar hangus dan dijadikan jambatan untuk menyeberangi Sungai Furat dan Dijlah, tetapi Allah memelihara ilmu Islam.

Golongan Tartar telah memaksa umat Islam dengan merangka perlembagaan yang bernama Yasak yang diambil daripada fahaman Islam, Yahudi dan Kristian serta akal fikiran sendiri. Islam diambil untuk menipu umat Islam pada masa itu. Umat Islam dipaksa menerima ajaran Yasak itu. Kalau ingkar akan dibunuh. Tentera Tatar mara ke hadapan untuk menakluk Shams dan Mesir. Apabila mereka sampai ke Palestin di tempat yang dikenali dengan Ain Jalut, bala tentera Islam telah mendapat satu keramat. Dengan slogan ‘wa islamah’ (wahai Islam tersayang. Ayuh selamatkan Islam). Dengan slogan ini mereka bangkit menentang kaum Tatar yang dikatakan pada masa itu mustahil dapat dikalahkan. Dengan semangat Islam, Allah mengurniakan pertolongan kepada umat Islam di Ain Jalut pada bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Marilah kita mengambil semangat Ramadhan ini dengan menyedari bahawa umat Islam pada hari ini sedang dijajah dan ada tanah air mereka yang belum dibebaskan sehingga kini. Umat Islam hari ini dizalimi dan dibunuh di mana-mana sahaja seperti di Iraq, Thailand, Filipina, Palestin, Chechenya, dan sebagainya. Di dalam masa yang sama, pemikiran umat Islam turut dijajah oleh undang-undang perlembagaan yang sama seperti Yasak.

Sesungguhnya kita tidak mendapat kemuliaan sekiranya kita tidak menjulang tinggi Islam, sebagaimana yang diucapkan oleh Saidina Umar r.a :

Kita adalah satu kaum yang dimuliakan oleh Allah SWT dengan Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan selain daripada kemuliaan Islam, pasti Allah SWT akan menghina kita.

Hari umat ini umat Islam mencari kemuliaan dengan wang, kemewahan, harta benda dan pangkat. Tetapi mereka tidak menggunakan nikmat itu untuk meninggikan agama Allah. Mereka menjadikan kebendaan itu sebagai matlamat hidup mereka. Oleh sebab itu mereka menjadi hina dan mendapat kehinaan daripada Allah SWT.

: dipetik drp Buletin Online

Sungai Di Dalam Laut...Subhaanallah !!

Saturday, August 28, 2010

“Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan); yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit; dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang menghalangi.” (Q.S Al Furqan:53)

Jika anda termasuk orang yang gemar menonton rancangan TV `Discovery’ pasti kenal Mr.Jacques Yves Costeau, ia seorang ahli oceanografer dan ahli selam terkemuka dari Perancis. Orang tua yang berambut putih ini sepanjang hidupnya menyelam ke perbagai dasar samudera di seantero dunia dan membuat filem dokumentari tentang keindahan alam dasar laut untuk ditonton di seluruh dunia.

sungai bawah laut 01 Sungai Di Bawah Lautan!!

Pada suatu hari ketika sedang melakukan eksplorasi di bawah laut, tiba-tiba ia menemui beberapa kumpulan mata air tawar-segar yang sangat sedap rasanya kerana tidak bercampur/tidak melebur dengan air laut yang masin di sekelilingnya, seolah-olah ada dinding atau membran yang membatasi keduanya.

Fenomena ganjil itu memeningkan Mr. Costeau dan mendorongnya untuk mencari penyebab terpisahnya air tawar dari air masin di tengah-tengah lautan. Ia mulai berfikir, jangan-jangan itu hanya halusinansi atau khalayan sewaktu menyelam. Waktu pun terus berlalu setelah kejadian tersebut, namun ia tak kunjung mendapatkan jawapan yang memuaskan tentang fenomena ganjil tersebut.
sungai bawah laut 02 Sungai Di Bawah Lautan!!
Sampai pada suatu hari ia bertemu dengan seorang profesor muslim, kemudian ia pun menceritakan fenomena ganjil itu. Profesor itu teringat pada ayat Al Quran tentang bertemunya dua lautan (surat Ar-Rahman ayat 19-20) yang sering diidentikkan dengan Terusan Suez. Ayat itu berbunyi “Marajal bahraini yaltaqiyaan, bainahumaa barzakhun laa yabghiyaan…
Artinya: “Dia biarkan dua lautan bertemu, di antara keduanya ada batas yang tidak boleh ditembus.” Kemudian dibacakan surat Al Furqan ayat 53 di atas.
Selain itu, dalam beberapa kitab tafsir, ayat tentang bertemunya dua lautan tapi tak bercampur airnya diertikan sebagai lokasi muara sungai, di mana terjadi pertemuan antara air tawar dari sungai dan air masin dari laut. Namun tafsir itu tidak menjelaskan ayat berikutnya dari surat Ar-Rahman ayat 22 yang berbunyi “Yakhruju minhuma lu’lu`u wal marjaan” ertinya “Keluar dari keduanya mutiara dan marjan.” Padahal di muara sungai
tidak ditemukan mutiara.


sungai bawah laut 03 Sungai Di Bawah Lautan!!
Terpesonalah Mr. Costeau mendengar ayat-ayat Al Qur’an itu, melebihi kekagumannya melihat keajaiban pemandangan yang pernah dilihatnya di lautan yang dalam. Al Qur’an ini mustahil disusun oleh Muhammad yang hidup di abad ke tujuh, suatu zaman saat belum ada peralatan selam yang canggih untuk mencapai lokasi yang jauh terpencil di kedalaman samudera. Benar-benar suatu mukjizat, berita tentang fenomena ganjil 14 abad yang
silam akhirnya terbukti pada abad 20. Mr. Costeau pun berkata bahawa Al Qur’an memang sesungguhnya kitab suci yang berisi firman Allah, yang seluruh kandungannyamutlak benar. Dengan seketika dia pun memeluk Islam.
Allahu Akbar…! Mr. Costeau mendapat hidayah melalui fenomena teknologi kelautan. Maha Benar Allah yang Maha Agung.
Shadaqallahu Al`Azhim.Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yang dikaratkan oleh air.” Bila seorang bertanya, “Apakah caranya untuk menjadikan hati-hati ini bersih kembali?” Rasulullah s.a.w. bersabda, “Selalulah ingat mati dan membaca Al Quran.”


sungai bawah laut 04 Sungai Di Bawah Lautan!!

Jika anda seorang penyelam, maka anda harus mengunjungi Cenote Angelita, Mexico. Disana ada sebuah gua. Jika anda menyelam sampai kedalaman 30 meter, airnya air segar (tawar), namun jika anda menyelam sampai kedalaman lebih dari 60 meter, airnya menjadi air asin, lalu anda dapat melihat sebuah “sungai” di dasarnya, lengkap dengan pohon dan daun daunan.
Namun pengkaji mengatakan, itu bukanlah sungai biasa, itu adalah lapisan hidrogen sulfida, namun nampak seperti sungai… luar biasa bukan? Lihatlah betapa hebatnya ciptaan Allah s.w.t.

Ramadhan Madrasah Tarbiyyah

Friday, August 27, 2010

Assalamualaikum...Alhamdulillah setelah lama tidak men'cakna' akan blog ini tetapi hari ini dan dalam bulan yang mulia ini Allah s.w.t memberi kekuatan kepada ana untuk menulis apa yang boleh di kongsi bersama menerusi blog yang usang ini.Kita bersyukur hari ini dalam kehidupan kita yang penuh dengan cabang-cabang fikrah yang mengelirukan kita,hari ini kita di tetapkan hati oleh Allah s.w.t di dalam agama Islam yang suci ini yang memberi manfaat kepada seluruh umat manusia.

Sentiasalah kita melazimi doa ini - ربنا لا تزغ قلوبنا بعد إذ هديتنا وحبلنا من لدنك رحمة إنك أنت الوهاب
agar kita sentiasa di bawah peliharaan Allah s.w.t dan di jauhkan dari segala perbuatan maksiat.Di bulan ramadhan yang mulia ini kita di galakkan untuk memperbanyakkan melakukan amalan-amalan kebaikan kerana setiap amalan baik yang di lakukan di bulan ramadhan akan digandakan pahala oleh Allah s.w.t.Bulan ramadhan merupakan bulan Tarbiyyah atau di maksudkan sebagai bulan didikan.Hanya orang-orang yang mempunyai keimanan di dalam hati yang dapat menghayati apakah ertinya Allah s.w.t menganugerahkan kepada manusia satu bulan iaitu bulan ramadhan.

Sebagaimana Allah s.w.t menyebut di dalam Al-Quran yang bermaksud:
" Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat-umat yang terdahulu agar kamu bertaqwa".

Objektif utama yang hendak di capai di dalam bulan ramadhan menerusi ayat di dalam surah Al-Baqarah tersebut ialah untuk menjadi orang yang bertaqwa.Apa yang dimaksudkan dengan taqwa?Taqwa ialah takut kepada Allah.Seorang sahabat telah bertanya kepada Saidina Umar r.a "Wahai Umar apa itu taqwa?" lalu Saidina Umar menjawab " Taqwa itu ialah kamu melalui satu jalan yang penuh dengan duri maka kamu melaluinya dalam keadaan kamu berhati-hati supaya kamu tidak terpijak akan duri tersebut".Itulah gambaran taqwa yang telah diungkapkan oleh Saidina Umar r.a.Berbeza kita takut kita kepada Allah dengan takut kita kepada makhluk lain.Takut kita kepada Allah kita semakin dekat dengan Allah s.w.t berbanding kita takut dengan makhluk-makhluk lain kita akan menjauhkan diri dari makhluk tersebut.

akan bersambung.......

Kehebatan Ilmu Imam Syafie : dialog bersama Harun AlRasyid

Wednesday, August 25, 2010

Al-Hafiz al-Baihaqi meriwayatkan Imam Shafie pernah suatu hari menghadiri majlis yang diadakan oleh Khalifah Harun al-Rashid. Muhammad bin al-Hasan turut hadir.
Khalifah berpaling kepada Imam Shafie, lalu bertanya: ‘Wahai Ibn Idris! Bagaimana penguasaanmu terhadap Kitab Allah azza wa Jalla? ’
Jawab Imam Shafie: ‘Kitab Allah Azza wa Jalla yang mana satu engkau tanya? kerana Allah Subhanahu wa Taala menurunkan beberapa buah kitab; 58 buah kitab ke atas 7 para Nabi as.
Allah turunkan ke atas Adam, Shith as 30 sahifah. Semuanya perumpamaan. Allah turunkan ke atas Akhnukh (Nabi Idris) as 16 sahifah. Semuanya hikmah dan ilmu mengenai alam tinggi (al-Malakut al-A’la).
Allah turunkan ke atas Ibrahim as 8 suhuf. Di dalamnya kefardhuan dan Nazar.
Allah turunkan ke atas Musa as Taurat. Kebanyakannya amaran dan nasihat. Allah turunkan ke atas Isa as Injil, untuk menerangkan kepada Bani Israel perkara yang mereka perselisihkan dalam Taurat.
Allah turunkan ke atas Daud as kitab (iaitu Zabur). Semuanya doa dan nasihat.
Allah turunkan ke atas SayyidilBashar (ketua segala manusia) Muhammad saw al-Furqan. Ia menghimpunkan segala kitab terdahulu.
Allah Taala berfirman, maksudnya:
“ Dan (ingatkanlah tentang) hari Kami bangkitkan dalam kalangan tiap-tiap umat, seorang saksi terhadap mereka, dari golongan mereka sendiri; dan Kami datangkanmu (wahai Muhammad) untuk menjadi saksi terhadap mereka ini (umatmu); dan Kami turunkan kepadamu al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang menggembirakan, bagi orang-orang Islam” An-Nahl: 89
Dan firmanNya bermaksud:
“Alif, Lam, Raa. Al-Quran sebuah kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu. (Susunan dan penjelasan itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijkasana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.” Hud:1
Khalifah Harun al-Rashid berkata: ‘Engkau telah menjawab dengan baik melalui huraianmu. Tetapi maksudku ialah al-Quran yang diturunkan ke atas SayyidilMursalin Muhammad saw yang diperintah Allah supaya kita menerimanya, dan memerintahkan kita supaya beramal dengan ayat muhkamnya dan beriman dengan ayat mutasyabihnya.’
Imam Shafie menjawab: ‘Ayat yang mana satu engkau tanya? Tentang muhkamnya, mutasyabih, nasikh atau mansukhnya? Kerana terdapat ayat itu hukumnya thabit sedangkan bacaannya diangkat; di antaranya bacaannya thabit dan hukumnya terangkat, atau engkau tanyakan aku tentang perbandingan dan perumpamaan yang Allah buat, atau beberapa kisah umat terdahulu.’
Imam Shafie terus menjawab dengan menyebut 73 bentuk…
Harun al-Rashid berkata: ‘Hei Shafie! Adakah ilmumu meliputi semua ini?’
Imam Shafie menjawab: ‘Wahai AmirulMukminin! Ujian terhadap orang yang bercakap ialah seperti api yang membakar perak. Ia akan menzahirkan yang mana baik, yang mana buruk.’
Harun al-Rashid berkata: ‘Aku tidak pandai mengulangi apa yang engkau sebutkan, tetapi aku akan bertanya tentangnya di majlis yang lain. Bagaimana pula penguasaanmu terhadap Sunnah Rasulullah saw?’
Imam Shafie berkata: ‘Aku mengetahui dari Sunnah itu apa yang keluar dalam bentuk wajib, tidak boleh meninggalkannya sebagaimana tidak boleh meninggalkan apa yang diwajibkan Allah dalam al-Quran, apa yang keluar dalam bentuk ta’dib, apa yang keluar dalam bentuk nadb (sunat), apa yang keluar dalam bentuk khas..yang tidak dimasuki oleh am, apa yang keluar dalam bentuk umum..yang termasuk di dalamnya khusus, apa yang keluar sebagai jawapan dari orang yang bertanya..tidak boleh selainnya untuk menggunakannya, apa yang keluar buat pertama kalinya…kerana banyaknya ilmu di dalam dada Nabi saw, apa yang dibuat khusus untuk dirinya dan menjadi ikutan orang tertentu dan awam, dan apa yang khusus untuk dirinya..lalu tidak dikongsi perkara itu dengan orang lain.’
Harun al-Rashid berkata: ‘Barakallahu fik (Moga Allah memberkatimu) wahai Shafie! Engkau telah menjawab dengan baik. Bagaimana pula penguasanmu terhadap Bahasa Arab?’
Imam Shafie menjawab: ‘Bahasa Arab itulah medan kami. Tabiat kami telah terbiasa dengannya. Lidah kami menuturinya. Bahasa Arab itu telah menjadi seperti kehidupan kami, ia tidak sempurna melainkan dengan keselamatan bahasa Arab. Aku dilahirkan tanpa mengenal lahn/kesilapan dalam bahasa Arab.’
Harun al-Rashd berkata: ‘Mudah-mudahan Allah membanyakkan di kalangan keluargaku orang sepertimu.’
Khalifah memerintahkan supaya diberikan 1000 dinar kepada Imam Shafie. Imam Shafie menerimanya. Khalifah ketawa, sambil berkata: ‘Alangkah bijaknya engkau, alangkah mendalamnya ilmu engkau. Mudah-mudahan Allah membinasakan musuhmu…’
Khalifah memerintahkan khadamnya mengikut Imam Shafie supaya melihat apa yang dibuat oleh Imam Shafie terhadap wang tersebut. Imam Shafie membahagi-bahagikan wang tersebut sebekas sebekas hingga ia sampai ke satu pintu. Tidak ada bersamanya melainkan satu bekas wang lalu diberikannya kepada khadam Khalifah itu.
Khadam tersebut memberitahu perkara tersebut kepada Khalifah Harun al-Rashid. Al-Rashid berkata: ‘dengan inilah hemmahnya hilang dan kuatlah ujiannya (faragha hammuhu wa qawiat minnatuhu)
Komentar saya:


  • Imam Shafie sememangnya seorang tokoh ternama dalam sejarah Islam. Sebagai beradab, jangan perlekehkan ketokohannya.








  • Seseorang tinggi di sisi Allah kerana ilmunya, bukan kerana pangkat dan jawatannya.








  • Penguasaan terhadap al-Quran dan Hadis adalah asas ilmu sebenar. Kalau kail hanya sejengkal di dalam bidang al-Quran atau Hadis, tolong jangan mendabik dada ( atau perasan) sebagai pakar atau hebat.








  • Perkataan yang keluar dari mulut menjadi indikator kepada kredibiliti ilmu dan peribadi seseorang.








  • Ketinggian ilmu si ulama yang benar tidak menjadikan ia buta hati terhadap ganjaran harta yang diberi.








  • Pemerintah yang adil termasuk pemerintah yang meletakkan ulama pada tempatnya yang sebenar dan bersedia menerima pandangan ulama.








  • Kebijaksanaan berucap ialah untuk menegakkan kebenaran, bukannya menunjukkan keegoan.








  • شكران للزيارة

    Terima Kasih Atas Kunjungan....segala kekurangan mohon beribu kemafaan
     
     
     
     
    Copyright © Tinta Seorang Hamba